
PROF. MADYA DR. NOR'ADHA BINTI ABDUL HAMID
Pengarah Pusat Pengajian Siswazah
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana anda sebagai pelajar pascasiswazah telah memilih Universiti Islam Selangor sebagai destinasi kelangsungan pengajian di peringkat pendidikan tinggi. Pilihan saudara dan saudari untuk bersama UIS bukan sekadar satu keputusan akademik, tetapi satu langkah strategik dalam membina masa depan ilmu, kerjaya dan kepimpinan berteraskan nilai Islam.
Pusat Pengajian Siswazah UIS komited untuk menyediakan ekosistem pembelajaran yang inklusif, di mana kepelbagaian latar belakang, pengalaman dan disiplin ilmu diraikan sebagai kekuatan bersama. Kami percaya setiap pelajar mempunyai potensi tersendiri yang perlu diperkasa melalui sokongan akademik, bimbingan penyeliaan yang berkualiti serta persekitaran pembelajaran yang kondusif.
Selaras dengan moto Inclusive, Inspiring, Excellent, PPS UIS berusaha membudayakan suasana ilmu yang merangsang pemikiran kritikal, inovasi dan penyelidikan bermakna. Para pelajar digalakkan untuk berani meneroka idea baharu, menyumbang kepada penyelesaian isu masyarakat dan memacu kecemerlangan ilmu yang memberi impak sebenar di peringkat nasional dan global.
Dalam usaha melakar kecemerlangan sebagai sebuah universiti pilihan, semua program pascasiswazah UIS telah diakreditasi dan memenuhi standard kualiti yang ditetapkan. Pengiktirafan institusi seperti pensijilan MS ISO 9001:2015, SETARA, MyRA serta IFN Awards Service Providers 2025 mencerminkan komitmen berterusan UIS terhadap tadbir urus berkualiti. Pengiktirafan ini menjadi jaminan bahawa perjalanan pengajian saudara dan saudari disokong oleh sistem yang diyakini dan berdaya saing.
Akhir kata, saya mengucapkan selamat datang dan selamat menempuh perjalanan pengajian pascasiswazah di Universiti Islam Selangor. Semoga tempoh pengajian ini menjadi medan pembinaan ilmu, sahsiah dan kepimpinan yang unggul, selari dengan aspirasi melahirkan graduan berilmu, berakhlak dan berdaya saing.
Sekian, terima kasih.
